Tuesday, January 26, 2010

Sejarah Penubuhan SK Undang Jelebu

Pada awal tahun 1946, sebuah sekolah swasta yang menggunakan bahasa pengantar Inggeris telah ditubuhkan di pekan Kuala Klawang, Encik Abdul Hamid telah ditugaskan untuk mengasuh dan mengelolakan kelas bahasa Inggeris tersebut. Bangunannya terletak di Balai Undang Jelebu sekarang.

Tempat dan tugas Encik Abdul Hamid selepas itu telah diambil alih oleh En.S.T Harun. Kelas diadakan di sebuah bangunan bekas balai polis Daerah Jelebu. Bangunan ini telah dirobohkan. Pada tahun 1947 apabila Encik S.T Harun bertukar ke tempat lain,tempatnya telah diambil alih oleh Tn. Hj. Ibrahim b. Mansur, seorang anak tempatan yang ketika itu tidak menerima apa-apa gaji selain daripada sedikit elaun. Sekolah ini terus dikelolakan secara swasta.

Pada tahun 1953, STANDARD TYPE PRIMARY SCHOOL, menggunakan bahasa pengantar bahasa Inggeris telah ditubuhkan. Bangunan sekolah Latihan Squad Hutan di Kuala Klawang digunakan sebagai bilik darjah. Guru Besar pertama yang mengelolakan sekolah ini ialah En. Appadurai.

En. Appadurai menjadi Guru Besar selama lima tahun. Selepas itu
En. J.A. Louis dari Seremban ditugaskan sebagai Guru Besar. Semasa di bawah kelolaan beliau, murid-murid semakin bertambah. Beliau sangat mementingkan disiplin dan kemajuan pendidikan murid-murid.

En. S.Dhamalingam, seorang guru berasal dari Kuala Pilah, telah mengambil alih tugas pada tahun 1958. Beliau hanya bertugas selama dua tahun, kemudian beliau ditukarkan ke Seremban. Jawatan Guru Besar disandang pula oleh En. Chelliah Sivanathan pada tahun 1962. Setelah itu, Miss Ng Kwee Yin dilantik menjadi pemangku Guru Besar.

Pada tahun 1963, Puan M.E.Loh menjadi Guru Besar wanita yang pertama. Di bawah pimpinan beliau, persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini telah ditubuhkan.

Tuan Hj. Asli b. Mohd Amin telah dilantik menjadi Guru Besar bermula pada bulan Mac,1973. Beliau telah mengilhamkan penerbitan majalah sekolah yang pertama iaitu “SINAR SRUJIAN”.

Berikutan dengan penambahan pelajar iaitu seramai 887 orang, kelas pagi dan petang diadakan berpunca daripada kekurangan tempat belajar.

Pada bulan Jun, 1997 Tn. Hj. Asli telah bersara. Beliau kemudiannya digantikan oleh En. Baharudin b. Md. Nor selaku pemangku Guru Besar. Tuan Hj. Ismail b. Ibrahim PJK, pula dilantik menjadi guru Besar pada bulan April 1978. Beliau telah berusaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima serta cuba mendapatkan sebuah bagunan baru.

Usaha beliau telah mencapai kejayaan apabila pada penggal kedua persekolahan 1984, Sek. Keb. Undang Jelebu telah berpindah ke bangunan Sek. Men. Undang Jelebu yang telah berpindah ke Petaling.

Pada bulan Januari 1985, En. Md. Ali b. Ismail PPN, PMC, PJK dari Sek. Keb. Teriang menggantikan tempat Tn. Hj. Ismail b. Ibrahim. Beliau telah berusaha melengkapkan Pusat Sumber dengan pelbagai peralatan di antaranya ialah televisyen, video, set karel, OHP, memperkenalkan projek “Intercom” dan Akhbar Dalam Darjah (ADD) di daerah Jelebu. En. Jamaludin b. Hj. Ramly telah menggantikan tempat En. Md Ali b. Ismail sebagai Guru Besar pada bulan November,1987.

Mulai bulan Julai 1992, En. Abd. Shattar b. Hj. Hashim telah memegang jawatan Pemangku Guru Besar. Dalam tempoh tersebut beberapa projek pembangunan telah dilaksanakan di antaranya pembinaan kantin baru, gelanggang serbaguna, baik pulih bangunan dan sebagainya untuk kemudahan semua.Pada 28 Mei 1994, Puan Hjh. Saleha bt. Hj. Manap telah memenuhi kekosongan jawatan Guru Besar setelah Sek. Ren. Keb. Undang Jelebu dinaikkan taraf sekolah rendah Gred ‘A’ dengan keramaian murid 783 orang berbanding dengan jumlah guru seramai 41 orang.

Pada awal tahun 1998 sekali lagi Sekolah Rendah Kebangsaan Undang Jelebu (SRUJ) bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu (SKUJ). Semasa pentadbiran Hjh. Saleha bt. Abd. Manap, sekali lagi sekolah ini mengalami perubahan fizikal. Bangunan lama telah dirobohkan dan digantikan dengan tiga blok bangunan tiga tingkat. En. Muhammad Razali b. Abd Rahman telah bersara wajib pada 1 Oktober 2007 dan tempat beliau telah digantikan oleh guru besar sekarang iaitu Encik Zulkupli bin Osman.

Template by - Abdul Munir